Para ulama’ berbincang panjang tentang perbezaan yang
wujud di antara iblis, syaitan dan jin. Kita boleh merujuk perbincangan
tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan lain-lain. Namun, secara
ringkasnya boleh dinyatakan
bahawa jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggun jawab memperhambakan
diri kepada Allah seumpama manusia. Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan (ingatlah)
Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan
beribadat kepadaKu.
Justeru, jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan kekufuran.
Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh,
kafir, fasik, munafik dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan sesungguhnya di
antara kami (jin) ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak
demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin
merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27 bermaksud:Dan kami telah
menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.”
Manakala iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka
dari kalangan jin.
Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah
daripada jenis jin. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50,
bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman
kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud
melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka
terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan
keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain
daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu
sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.
Manakala syaitan pula adalah golongan yang engkar dari
kalangan jin dan manusia.
Firman Allah SWT dalam surah al-An`am
ayat 112 bermaksud: Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia
dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta
yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu
menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka
dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran,
perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan
terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan serta
menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan
digunakan pelbagai cara dan tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak
cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia.
Boleh dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’
yang engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. Syaitan
berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas dendam atas
pengusiran nenek moyang mereka iblis dari syurga ekoran keengganan untuk sujud
pada nabi Adam.
Firman Allah dalam surah al-A`raf
ayat 16-17 bermaksud: Iblis
berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat
(maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari
menjalani) jalanMu Yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka,
dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta
dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka
bersyukur".Menurut Ibn Qayyim maksud "jalan yang lurus" di
dalam ayat di atas ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah
SWT. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan
akan menghalang anak Adam pada semua jalan.
Ibn Qayyim menyatakan lagi: "Jalan yang dilalui oleh manusia hanya
empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan
sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan,
syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan
itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau
perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan
melakukannya".
Jelaslah bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi
gambaran bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan
kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari segenap
penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain
menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi habis-habisan untuk menyesatkan
manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya.
Kesimpulan yang
lebih mudah untuk merangkan mengenai perbezaan antara manusia, jin, iblis dan
syaitan adalah seperti gambar rajah dibawah:
Sumber rujukan: http://www.ustazshauqi.com