Saturday, December 29, 2012

Khidir A.S

Ilmu yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadis tersangatlah banyaknya dan merupakan ilmu yang bersifat 'sejati' dan 'mutlak' kerana ianya merupakan wahyu atau petunjuk daripada yang Maha Bijaksana. Di dalamnya mengandungi segala ilmu yang melingkupi semua aspek kehidupan dan ini lah yang amat menghairankan kerana mengapa ilmu yang sehebat ini tidak diajarkan secara menyeluruh, tetapi diajar secara separuh-separuh, berselang-seli dengan ilmu matematik, sejarah, sains dan teknologi tajaan barat yang amat bersifat luaran(pembuktian). Tinggalkan persoalan ini dahulu.

Banyak ikon-ikon ilmuan Islam di sepanjang sejarah ketamadunan manusia ini, dan ada diantaranya tertulis di dalam Al-Quran kisah-kisah mereka tetapi identiti mereka amatlah misteri. Saya amat tertarik dengan ilmuan yang boleh menggunakan kedua-dua cabang ilmu iaitu dalaman dan luaran (ilmu Islam yang sebenarnya) dan sebagai contoh, Khidir as. Mari kita mengenali siapakah Khidir ini?

Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).” 
Kisah mengenai insan yang dikenali sebagai Khidir telah diceritakan oleh Allah swt dalam surah al-Kahfi daripada ayat 60 sehingga ayat 82. Walaubagaimanapun, Allah swt tidak pula memberitahu bahawa insan tersebut adalah Khidir. Allah swt hanya menyebut sebagai ‘seorang hamba di antara hamba-hamba kami’ untuk merujuk kepada insan yang dikenali sebagai Khidir ini.
Dalam ayat 60 sehingga 82, Allah swt menceritakan bagaimana Nabi Musa as pergi mencari ilmu dengan seorang yang sangat alim dan tinggi ilmunya. Ilmu yang tinggi itu dianugerahkan oleh Allah swt kerana ketakwaan dan kezuhudan beliau. Insan yang dikenali sebagai Khidir itu telah memberi kita seribu satu pengajaran terutama dalam pencarian ilmu terutama ilmu akhirat.
Dakwaan Musa yang bukan Musa as, Rasul Bani Israil
Dalam penyelidikan semasa penulis menulis artikel ini. Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa Musa yang diceritakan oleh Allah swt adalah Musa yang berlainan daripada Nabi Musa daripada Bani Israil. Musa yang dimaksudkan adalah Musa bin Misha’ atau Manasseh. Musa bin Misha’ merupakan keturunan daripada Nabi Yusuf as. Namun, ia adalah kesalahan yang amat nyata sekali. Imam Bukhari meriwayatkan dari Sa’id bin Jubair, Sa’id bin Jubair berkata,
Aku berkata kepada Ibnu Abbas ra, Nauf al-Bikali merasakan bahawa Musa as dalam kisah Nabi Khidir as bukanlah Musa yang Nabi kepada Bani Israil. Maka Ibnu Abbas ra berkata, ‘Apa yang dikatakannya tidak benar, Ubai Ibnu Kaab ra mengatakan kepada kami bahawa ia mendengar Rasulullah saw bersabda;
Musa berdiri untuk menyampaikan khutbah kepada Bani Israil, lalu ia ditanya: “Siapakah manusia yang paling alim?” Musa menjawab, “Aku”. Maka Allah swt pun langusng menegurnya, sebab ia belum diberi wahyu tentang hal itu(tentang siapa yang paling alim). Lalu Allah swt memberi wahyu kepada Musa, “Aku memiliki seorang hamba yang berada di pertemuan dua laut, dia lebih berilmu dari kamu”.
Musa berkata, “Ya Allah, bagaimana aku dapat menemuinya?” Allah berfirman, “Bawalah ikan, lalu letakkan di dalam bakul. Maka di mana pun ikan itu menghilang, maka di situlah hamba-Ku(Khidir as) berada di sana.”
Hadis bertaraf shahih ini sebenarnya sudah cukup untuk menangkis tentang siapakah Musa yang Allah swt maksudkan di dalam surah al-Kahfi tersebut.
Bagaimana dengan Khidir as? Siapakah beliau yang sebenar-benarnya?
Daripada istilah bahasa, Khidir memberi makna yang kehijau-hijauan.Adalah menjadi satu kemungkinan bahawa Khidir ini hanyalah nama gelaran sahaja yang diberikan oleh Rasulullah saw sebagaimana yang terjadi kepada nama Zulqarnain, Luqmanulhakim dan Ashaabul Kahfi. Perlu diingatkan bahawa al-Quran tidak menitikberatkan nama seseorang individu melainkan kisah-kisah mereka yang perlu diambil iktibar.
Walaubagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan untuk kita mengkaji siapakah sebenarnya Khidir.
Telah menjadi perdebatan daripada zaman sahabat diikuti tabiin dan diikuti pula Tabi’ut Tabiin tentang siapakah insan yang digelar Khidir as. Rasullulah saw dalam sabdanya menyatakan insan berilmu dalam surah al-Kahfi adalah Khidir. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra daripada Rasulullah saw mengenai Khidir as, baginda bersabda;
“Ia dinamakan Khidir tidak lain kerana, apabila dia duduk di atasfarwah(permukaan bumi) yang putih(tidak bertanaman), maka tiba-tiba tanah di bawahnya itu menumbuhkan tanaman yang menghijau”
Sheikh al-Arna-uth mengatakan hadis ini shahih menurut periwayatan Imam Bukhari dan Imam Muslim.
Imam Ahmad turut meriwayatkan daripada Abdurrazaq daripada Hammam, daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda;
“Ia dinamakan Khidir tidak lain kerana, jika dia duduk difarwah(permukaan bumi), maka tiba-tiba tanah di bawahnya itu menumbuhkan tanaman yang menghijau.”
Farwah menurut sesetengah ulama hadis mendefinisikan sebagai rumput kering atau tanaman yang sudah kering. Pendapat ini dipopularkan oleh ulama hadis terkenal, Abdurrazaq. Namun pendapat masyhur adalah farwah bermaksud permukaan bumi. Hadis di atas adalah bertaraf shahih dan turut diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab masyhurnya Shahih Bukhari.
Khidir seorang Nabi
Para ulama sepakat memartabatkan Khidir sebagai nabi atas dalil daripada satu ayat al-Quran daripada surah al-Kahfi.

Maksud ayat di atas adalah penjelasan Khidir  mengenai TIGA perbuatan kepada Musa as semasa Musa as berguru dengannya. Khidir bertegas mengatakan bahawa perbuatan yang dilakunya bukanlah kerana daripada dirinya sendiri akan tetapi datang daripada Allah swt yang Maha Bijaksana.
Selain dalil daripada ayat di atas, firman Allah swt sebelum ini pun menjadi dalil bagi kenabian Khidir iaitu firman-Nya;
 
Dakwaan tentang individu yang bernama Khidir as
Ibnu Abu Hatim: Mendakwa bahawa Khidir as adalah anak atau keturunan Qabil. Qabil adalah anak Nabi Adam as yang telah membunuh Habil.
Ibnu Abbas dan Hamka: Mendakwa Khidir as adalah anak sulung kepada Nabi Adam as. Menurut Hamka, Khidir yang beliau maksudkan sebagai anak sulung Nabi Adam dianugerahkan Allah swt dengan umur yang tiada penghujungnya sehingga dimatikan ketika bersama-sama berjuang dengan Nabi Isa dan al-Mahdi membunuh Dajjal laknatullah. Khidir juga tidak mampu dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat dilihat dengan kasyaf yang biasa dianugerah Allah swt kepada para Nabi dan walinya.
Tabari: Mendakwa Khidir as adalah rakan seperjuangan Nabi Ibrahim as ketika di Babylon(Iraq) ketika berdakwah kepada Nimrod(Namrod). Ketika Nabi Ibrahim berhijrah keluar daripada Babylon, Khidir as turut serta bersama-sama Nabi Ibrahim dan keluarganya. Tabari juga mendakwa Khidir samaada ayah atau ibunya berketurunan Parsi dan ayah atau ibunya berketurunan Romawi. Ini bermakna Khidir as adalah berasal daripada perkahwinan campuran antara Parsi dan Romawi. Tabari juga menyatakan bahawa Khidir as adalah salah seorang panglima kanan Zulqarnain. Ketika Zulqarnain mencari air kehidupan(Water of Life) dan menjumpainya, Zulqarnain menolak untuk meminumnya dan memberi kepada Khidir as. Disebabkan itulah Khidir as dianugerahkan kehidupan  yang abadi(atas kekuasaan Allah swt). Dalam al-Quran, terdapat ayat yang menyatakan air kehidupan ini iaitu ketika ikan yang dibawa oleh Musa as dan pesuruhnya(dipercayai Nabi Yusyak as) melompat keluar daripada bakul setelah terkena percikan air di tempat yang dikenali ‘pertemuan dua laut’.
Abdallah bin Shawdhab: Mendakwa Khidir as adalah individu daripada Parsi dan sering berjumpa dengan Nabi Elyas as setiap tahun terutama di bulan Ramadhan dan musim haji di Mekah. Nabi Elyas as adalah antara empat orang individu yang masih belum wafat iaitu Idris as, Isa as, Khidir as dan baginda sendiri.
Ibnu Ishq: Mendakwa Khidir as adalah Nabi Aramiyah bin Khulfiyah as(Jeremiah as). Nabi Aramiyah as adalah Rasul yang diutuskan oleh Allah swt ketika pemerintahan Raja Josiah bin Amon yang memerintah Judah. Walaubagaimanapun, Tabari menolak dakwaan Ibnu Ishq.
Ibn al-Kalbi: Mendakwa Khidir as adalah keturunan Nabi Harun as.
Muhammad bin Ayub: Mendakwa Khidir as adalah anak lelaki kepada anak perempuan Firaun. Namun, siapakah Firaun yang Muhammad bin Ayub dakwa sebagai datuk kepada Khidir as tidak pula dinyatakan.
Naqqash: Mendakwa Khidir as adalah anak kepada Firaun. Sama seperti Muhammad bin Ayub, tidak dinyatakan Firaun mana yang beliau dakwa sebagai ayah kepada Khidir as.
Muqatil bin Sulayman: Mendakwa Khidir as adalah Nabi Elias as.
Ibnu Qutaybah: Beliau mendakwa Khidir as adalah nama lain bagi individu bernama Ama’il bin Eliphaz(Yafaz) bin Esau bin Ishak as.
Wahb bin Munabbih, Ibnu Kathir, al-Alusi, Imam Nawawi dan Ibnu Qutaybah: Wahb bin Munabbih mendakwa Khidir as adalah nama lain bagi individu bernama Baliya bin Malikan bin Peleg bin Eber(Hud as) bin Shelah bin Arpachshad bin Sam bin Nuh asNamun, Imam Nawawi memberi nama Baliya bin Kaliman dan bukannya Baliya bin Malikan. Ulama zaman kini mendakwa insan yang didakwa oleh dua tokoh ulama salafi ini adalah insan yang sama. Ibnu Qutaybah turut mendakwa Khidir as adalah insan yang bernama Malikan selain dakwaannya Khidir as adalah insan bernama Ama’il.
Tempat pertemuan Khidir dan Musa as
Pendapat paling utama tentang pertemuan Khidir dan Musa berdasar firman Allah swt di atas adalah di Teluk Aqabah iaitu pertemuan antara Laut Merah dan Laut Putih.

Teluk Aqabah

Walaubagaimanapun terdapat pendapat yang mengatakan ia berlaku di pertemuan dua laut di Jordan. Ibnu Kathir pula mendakwa ia berlaku jauh ke di sebuah laut di Tangier, Maghribi iaitu pertemuan Lautan Atlantik dan Laut Mediterenean.
Tidak terhenti di situ, pendapat yang terbaru adalah ia berlaku di pertemuan dua laut iaitu di pertemuan dua Lautan iaitu Lautan India dan Lautan Atlantik.

Pertemuan dua laut antara Lautan India dan Lautan Atlantik
Walau apapun pendapat yang dikemukakan, ia tidak menyalahi syariat Islam kerana Allah swt langsung tidak menyatakan di mana pertemuan dua lautan itu berlaku. Tidak menjadi satu kesalahan untuk memberi teori yang terbaik bagi membolehkan umat Islam terus memahami isi kandung al-Quran yang mulia itu.
Sumber rujukan: http://takusahrisau.wordpress.com